TOKYO – Ramalan komik manga mencetuskan dakwaan bahawa gempa bumi mega akan menggegarkan Jepun hari ini, demikian menurut akhbar South China Morning Post (SCMP).
Siaran media sosial mengenai bencana dahsyat itu menarik berjuta-juta tontonan, malah turut menjejaskan kehadiran pelancong di Jepun. Peminat-peminat komik berkata, manga yang sama pernah meramalkan gempa bumi dan tsunami Tohoku yang dahsyat pada 2011, meragut hampir 20,000 nyawa.
Kegemparan itu berpunca daripada komik manga online bertajuk Watashi ga Mita Mirai, Kanzenban (Masa Hadapan yang Saya Lihat, Edisi Lengkap). Buku paling laris yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1999 itu adalah berdasarkan gerak hati pelukis, Ryo Tatsuki.
Dalam edisi terbaru, muka depan komik itu tertera petikan: “Bencana sebenar akan datang pada Julai 2025” .
Watak dalam edisi itu turut membincangkan tentang bencana alam di mana ‘dasar lautan antara Jepun dan Filipina akan retak’, dengan barat daya Jepun dilanda ombak gergasi tiga kali ganda lebih tinggi daripada tsunami Tohoku.
Walaupun buku itu tidak mengandungi sandaran saintifik, ada yang mentafsirkannya sebagai ramalan kejadian malapetaka yang akan berlaku pada 5 Julai 2025
Video dan siaran media sosial yang menyebarkan khabar angin itu telah mendapat tarikan yang meluas, malah turut diterjemahkan dalam bahasa lain termasuk bahasa mandarin, Vietnam dan Thai.
Tatsuki digelar ‘Baba Vanga’ Jepun sempena ahli mistik Bulgaria yang mendakwa telah meramalkan masa depan dan menjadi terkenal. – AGENSI