PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan penuh penghormatan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron semasa lawatannya ke Istana Elysee, hari ini.
Menurut Anwar, sambutan itu merupakan satu penghormatan besar yang mencerminkan hubungan akrab dan saling menghormati antara Malaysia dan Perancis.
“Pertemuan ini bukan sahaja dapat memperkukuh kerjasama strategik dua hala, malah memperluas jalinan persahabatan yang memberi manfaat kepada Malaysia, rantau ASEAN, Perancis dan Kesatuan Eropah secara keseluruhan,” kata Anwar menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari, akan turut menyentuh konflik di Asia Barat, terutamanya krisis kemanusiaan di Gaza, pada pertemuan itu.
Pada semalam, Anwar bertemu rakan sejawatan beliau, Francois Bayrou.
Selepas pertemuan dengan Macron, Anwar akan berlepas ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai. – KOSMO! ONLINE