PETALING JAYA – “Jika ternampak perempuan makan sendirian di restoran, kafe atau di mana-mana, janganlah rasa kasihan.”
Itu pesanan seorang wanita kepada masyarakat sekiranya mereka terlihat mana-mana perempuan sedang sendirian menikmati makanan di restoran atau kafe.
Katanya, golongan berkenaan kebiasaannya adalah mereka yang selesa bergerak melakukan aktiviti secara solo, namun hakikatnya masih dalam berkeadaan baik.
“Mereka yang jenis bergerak sendiri ni baik-baik saja tau. Bukan sebab tiada kawan. Bukan sebab tiada pasangan. Bukan juga sedang bersedih.
“Kadang-kala lebih selesa bersendirian hanya untuk bernafas lebih baik dan tenangkan diri. Sendiri, tetapi tidak keseorangan. Bersendirian, tapi tidak kesunyian.
“Mereka sedang menikmati hidup dengan sebaiknya dan menghargai masa bersama diri sendiri. Mereka meluangkan masa untuk berehat dan berfikir,” katanya yang menggunakan profil @Cik Amaya di media sosial.
Perkongsiannya itu meraih perhatian kaum wanita yang rata-rata bersetuju dengan pendedahannya itu.
“Aku lagi suka buat apa-apa seorang, senang. Berapa lama masa, mana aku nak pergi, nak buat apa ikut suka aku. Kalau tak, asyik ikut tekak orang ja. Banyak songeh,” komen Farah Ahmad.
“Berjalan seorang bukan bererti tiada kawan, cuma lebih selesa bergerak cepat, tidak serabut dengan kerenah dia orang. Aku juga lebih selesa bergerak sendiri,” ujar seorang lagi pengguna.
“Saya la tu suka duduk seorang (makan), tapi saya sangat peramah dan ada ramai kawan,” kongsi netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE