ASBAB sering membantu ibu bapanya di kedai runcit ketika kecil membuatkan wanita ini meminati bidang perniagaan.
Meskipun sebelum ini dia pernah menjawat jawatan sebagai pegawai farmasi di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kesihatan Melaka, namun minat mendalam untuk bergelar usahawan mengatasi segalanya.
Menurut Hazlen Jisan, 48, keputusannya berhenti kerja untuk ‘terjun’ dalam bidang perniagaan bukanlah suatu yang perlu disesali.
“Saya mula bekerja pada tahun 2002 dan mengambil keputusan berhenti selepas empat tahun berkhidmat iaitu pada April 2006.
“Saya berhenti kerana mahu buka perniagaan farmasi sendiri.
“Berbekalkan duit simpanan dan pengalaman, saya dapat buka sebuah farmasi dikenali sebagai Farmasi Duyong di Melaka pada Jun 2006,” katanya.
Meneruskan perkongsian, anak jati Jasin, Melaka itu bersyukur kerana perniagaan yang diceburinya sudah mencapai usia hampir dua dekad dengan memiliki tiga cawangan.
Berkongsi mengenai cabaran ketika awal mengasaskan bisnes farmasi, anak bongsu daripada 10 beradik itu mengakui, perniagaan itu memang sukar dan mempunyai halangan tertentu.
Pun begitu, dia beruntung kerana mendapat sokongan penuh daripada suami, Jalaludin Abd. Aziz dan rakan niaganya.
Ditebak mengenai salah satu cabaran yang tidak mungkin dilupakannya, Hazlen memberitahu, dia pernah mengalami kejadian pecah amanah dan kecurian yang dilakukan oleh ahli pasukannya sendiri selepas sedekad beroperasi.
Disebabkan kecurian itu, Hazlen kerugian lebih RM100,000.

Enggan beralah selepas kejadian itu, dia bangkit dengan memperkemas sistem prosedur operasi standard (SOP) kewangan syarikat dan pemantauan selepas sesuatu tugasan diberikan kepada staf.
Sementara itu, Hazlen memaklumkan, rangkaian farmasinya merupakan milik bumiputera yang terbesar beroperasi di Melaka.
Mengulas mengenai peranan dan tugas pula, ibu kepada tiga cahaya mata itu menyatakan, dia merupakan seorang pegawai farmasi merangkap pengurus am dan pengarah syarikat.
Jelasnya, sebagai ketua, dia perlu memastikan kelancaran semua bahagian seperti jualan dan pemasaran mencapai sasaran bulanan ditetapkan.
“Bagi kompetensi ahli pasukan, syarikat dari semasa ke semasa memberikan latihan supaya sasaran jualan setiap bulan dicapai seiring dengan belian stok.
“Begitu juga dengan aliran tunai farmasi, tugas saya adalah untuk memastikan ia kekal positif dan berusaha mendapatkan pasaran baharu,” ujarnya.
Terang Hazlen, jika dahulu bisnesnya hanya secara runcit (walk in) di premis, namun kini dia terlibat dalam jualan borong ubat-ubatan untuk dibekalkan ke sekolah dan fasiliti kerajaan, selain tersedia di platform belian online.
Dari segi tenaga kerja, Hazlen berkata, dia dapat berkongsi rezeki dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada 16 orang kakitangan.
Tidak mahu bergantung kepada satu segmen bisnes, wanita cekal itu bersama suaminya turut bergiat aktif menjalankan perniagaan makanan sejak April 2018.
Menariknya, Hazlen dan suaminya menawarkan pelbagai variasi makanan ‘rare’ seperti burasak, lepat loi, sambal tahi minyak dan rendang maman.
“Kami mahu semua lapisan masyarakat menikmati keenakan makanan tradisi ini pada harga berpatutan tanpa mengira musim.
“Buat masa ini, premis perniagaan kami mampu menampung sehingga 60 pelanggan pada satu-satu masa,” katanya.
Menutup perkongsian, Hazlen berkata, syarikatnya optimis dapat membuka dua lagi cawangan farmasi pada masa hadapan.
Bagi bisnes makanan pula, syarikatnya ketika ini mula menawarkan produk ‘ready to eat’ yang boleh dihantar ke seluruh negara.














