fbpx
DR. FARINA yang merupakan pengasas Seratu Aatai berkongsi kegembiraan dengan menunjukkan plak Anugerah Whitley 2025 pengiktirafan antarabangsa yang diraihnya di United Kingdom baru-baru ini.

Dr. Farina penyelamat gajah, syukur dapat lindungi ciptaan Tuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILORONGKAN Tuhan untuk bergelumang dalam bidang konservasi biologi, wanita hebat ini nyata amat bersyukur kerana dirinya berpeluang membantu melindungi makhluk ciptaan Ilahi yang lain.

Penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah, Dr. Nurzhafarina Othman yang menjadi tumpuan baru-baru ini kerana dedikasinya terhadap penyelidikan gajah khususnya gajah Borneo sehingga menerima pengiktirafan antarabangsa menyifatkan segalanya percaturan Yang Maha Pencipta.

“Secara jujurnya saya tidak pernah ada cita-cita yang berkait rapat dengan haiwan liar seperti gajah Borneo sebelum ini.

“Minat untuk mendekati dan mengenali gajah timbul ketika saya sedang mengambil ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam jurusan biologi pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kursus itu pun pada awalnya saya tidak pilih, tetapi ditawarkan pihak universiti dan saya ikut sahaja percaturan Ilahi,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu saat memulakan bicara kepada K-Wanita.

Pensyarah kanan dan penyelidik UMS itu mengharumkan nama negara April lalu apabila meraih pengiktirafan antarabangsa berhubung pemulihraan alam sekitar menerusi Anugerah Whitley 2025 dalam oleh Whitley Fund for Nature (WFN) di United Kingdom.

Tidak sekadar itu, dia yang mesra disapa Dr. Farina juga pernah menerima dua lagi anugerah antarabangsa iaitu Disney Conservation Hero pada 2015 diikuti The Peter Riger Facilitator Award tahun lalu.

Selepas mengikuti pengajian ijazah, niat murninya membantu menambah baik ekosistem gajah Borneo di Sabah membulatkan tekadnya melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang biosains di Universiti Cardiff, Wales.

“Rupanya bila terkenang semula, baru saya tahu ada hikmah kenapa ditawarkan ambil ijazah sarjana muda dalam bidang biologi pemuliharaan sebelum ini.

“Bila saya masuk dalam alam universiti dan bidang tersebut, saya perhatikan kita kurang pengetahuan tentang perilaku gajah. Kaedah kita mengurus mamalia terbesar di Malaysia ini boleh mengubah perilaku terbesar gajah yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada manusia,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Menurutnya, dia yang dilatih dalam bidang konservasi biologi sejak 2003 terpanggil untuk melibatkan diri secara konsisten atas dasar tanggungjawab memberi kefahaman kepada masyarakat.

Dr. FARINA menerima Anugerah Whitley 2025 di UK April lalu atas sumbangannya melindungi 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud di Pantai Timur Sabah.

DIGELAR pakar pemuliharaan gajah Malaysia, Dr. Farina, 41, yang pernah menjadi Ketua Program Konservasi Gajah di Danau Girang Field Centre, Kinabatangan nekad menubuhkan Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Sabah (Seratu Aatai) pada tahun 2017 dan bertindak sebagai pengarah.

“Tugas saya di UMS adalah membimbing dan melahirkan anak tempatan serta antarabangsa dalam bidang konservasi dan ia memfokuskan kepada gajah Borneo.

“Pada masa sama, di Seratu Aatai, kami cuba meningkatkan toleransi dengan komuniti dan pihak-pihak lain yang sama-sama berkongsi kawasan yang semakin padat serta sesak dengan aktiviti manusia. 

“Kebanyakan kawasan yang telah dimajukan kini pada suatu ketika merupakan habitat gajah. Pergerakan gajah sekarang ini banyak ditentukan oleh aktiviti manusia, jadi kawasan rayaunya semakin kecil.

“Jika gajah-gajah ini terlalu lama di satu-satu kawasan, maka akan berlaku lebih banyak kerosakan dan kemusnahan terutama tanaman serta harta benda. 

“Justeru, kami berusaha memberikan pengetahuan dan kemahiran supaya masyarakat faham cabaran yang dihadapi oleh gajah untuk ia terus ‘survive’,” katanya.

Salah satu usaha yang dilakukannya adalah dengan menubuhkan pasukan Warden Kehormat Hidupan Liar Komuniti untuk sama-sama membantu mengawal kemasukan gajah ke kawasan komuniti.

Dr. Farina menyatakan, gajah sebelum ini sering dianggap milik dan kepunyaan kerajaan, saintis serta pertubuhan bukan kerajaan, namun dia cuba mewujudkan kebersamaan. Jelasnya, Seratu Aatai (lingo suku Sungai) bermaksud bersatu hati.

Gajah Borneo menjadi fokus penyelidikan Dr. Farina sejak tahun 2003 setelah mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah.

Bagi mengurangkan konflik antara manusia dan gajah ujarnya, semua pihak perlu bersatu hati dan dari situlah pertubuhan itu tertubuh dengan digerakkan oleh 15 ahli.

“Seratu Aatai bekerjasama dengan pihak berkepentingan berbeza yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pemuliharaan gajah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk membangunkan strategi yang mengimbangi keperluan pemuliharaan gajah dan faedah sosioekonomi.

“Empat objektif utama pelan tindakan Seratu Aatai iaitu meningkatkan perlindungan dan mengurangkan kematian gajah, meningkatkan ketersambungan landskap dan kebolehtelapan, memastikan amalan terbaik untuk pengurusan dan pemuliharaan gajah serta memantau dan meramal trend populasi gajah,” tuturnya.

Berdepan hidupan liar, kebanyakan yang terlibat merupakan golongan lelaki. Bagi Dr. Farina, faktor jantina tidak pernah menjadi penghalang untuknya melibatkan diri dan mencapai kejayaan. 

Diminta berkongsi tugasnya, Dr. Farina menyatakan dia tidak perlu menjinakkan gajah seperti yang disangka ramai.

“Saya hanya mendekati gajah apabila ada keperluan seperti untuk mengidentifikasi, melihat kecederaan atau menyelamatkan anak gajah. 

“Yang menjadi cabaran ialah kalau ada gajah jantan naik minyak. Kita akan lebih berhati-hati sebab gajah jantan secara biologinya lebih agresif kerana ia kena berebut gajah betina daripada gajah-gajah jantan lain,” katanya.

DR. FARINA tidak kekok masuk ke kawasan hutan untuk mengkaji gajah dan mencari sumber makanan untuk diberikan kepada mamalia di bawah kendaliannya.

Dilihat ‘mesra’ dengan haiwan itu, Dr. Farina bagaimanapun berkongsi dia dan kumpulannya juga pernah berdepan pengalaman mencemaskan dikejar seekor gajah jantan yang ketika itu naik minyak.

“Nama gajah ini Gading. Ketika itu Gading sedang berjalan ke arah lain dan menjauhi saya dan dua ahli kumpulan.

“Kami bertiga berdiam untuk bagi Gading masa. Tidak pasti kenapa, tiba-tiba Gading berpusing dan terus mengejar kami. 

“Masa itu di dalam satu hutan. Gading berlari begitu laju. Kami berlari dan berpecah arah. Syukur tidak ada apa-apa perkara buruk berlaku,” ceritanya berdekah.

Mengulas anugerah oleh WFN yang diraih baru-baru ini, Dr. Farina mengakui prosesnya agak panjang dan sangat kompetitif.

“Saya langsung tidak menaruh harapan tinggi kerana faham mereka iktiraf projek yang mempunyai impak positif kepada komuniti dan spesies hidupan liar. 

“Pun begitu, selepas melalui beberapa proses, alhamdulillah kita berjaya. Sampai hari ini saya macam tidak percaya pernah berada di kota London untuk menerima anugerah berprestij itu.

“Ini adalah kejayaan pasukan dan platform yang sangat baik untuk berkongsi cerita dan isu gajah Borneo di platform antarabangsa,” katanya.

Dr. Farina turut menerima geran bernilai RM287,000 pada anugerah tersebut yang akan digunakan untuk membina koridor selamat bagi gajah Borneo dan menyokong peranan komuniti dalam memantau konflik hidupan liar.

Diaju pertanyaan tahap kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan gajah, Dr. Farina menyatakan ia sudah ada, namun masih kurang tindakan dari pelbagai pihak.

“Saya lihat tindakan hanya dilaksana daripada agensi yang bertanggungjawab. 

“Kita juga perlu selesaikan masalah asas konflik manusia dengan gajah dan bukan sekadar menutup isu.

“Maka, saya menyeru kawasan habitat yang masih ada perlu dipelihara untuk memastikan populasi gajah Borneo tidak diancam kepupusan.

“Seperkara lagi, ingatlah bahawa kepesatan ekonomi tidak akan ke mana jika ekosistem terganggu,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN