JAKARTA – Sekumpulan kanak-kanak di Indonesia mengundang perhatian ramai selepas membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai landasan kereta api elektrik yang longgar dan rosak, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infojabodetabek24jam memaparkan kanak-kanak terbabit sedang bermain di sekitar landasan kereta api.
Mereka secara tidak sengaja menemukan beberapa besi atau komponen yang longgar dan segera merakam kerosakan itu.
“Kepada PT Kereta Api Indonesia (KAI), lokasi kerosakan terletak di Perum Prima berhampiran Stesen Bojong Gede. Ada beberapa tempat, bukan di sini sahaja,” kata salah seorang kanak-kanak di dalam video itu.
Ketua Stesen Bojonggede dikenali sebagai Sutayat berkata, beliau telah mengerahkan pasukan pembaikan selepas melihat video tersebut.
“Selepas video itu tular, petugas telah dikerahkan lokasi untuk segera menjalankan pembaikan,” kata Sutayat. – AGENSI