ATLANTA – Impian jaguh Mexico, Monterrey untuk terus melakar kejutan di pentas Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 gagal diteruskan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Borussia Dortmund di pusingan 16 terbaik.
Biarpun statistik Monterrey lebih dominan dari setiap sudut termasuk penguasaan padang dan percubaan tetapi ia tidak membawa apa-apa kelebihan apabila tewas 1-2 kepada Dortmund di Stadium Mercedes-Benz semalam.
Lebih malang, Monterrey sepatutnya berpeluang mengheret perlawanan ke masa tambahan tetapi jaringan penyamaan German Berterame untuk mengikat kedudukan 2-2 dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Begitupun, pengendalinya, Domenec Torrent tetap berbangga dengan keseluruhan prestasi ditunjukkan mereka sepanjang kejohanan itu.
“Tiada apa lagi boleh dikatakan selain perasaan bangga dengan para pemain. Kini saya mahu para pemain fokus kepada saingan domestik selepas ini,” katanya.
Monterrey ketinggalan dua gol kepada Dortmund di separuh masa pertama hasil jaringan Serhou Guirassy sebelum Berterame kembali merapatkan jurang dalam babak kedua.
Biarpun diperkuatkan dengan kehadiran bintang berprofil besar seperti Sergio Ramos dan Sergio Canales, namun ia gagal membantu Monterrey yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.
Selepas ini, Monterrey akan kembali ke Mexico untuk membuat persediaan menghadapi saingan musim baharu Liga Apertura 2025 untuk perlawan pertama menentang Pachuca pada 13 Julai ini. – AGENSI