SEREMBAN – Tiga beranak yang ditemukan dalam keadaan mereput di dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, di sini petang semalam didakwa sering berkelakuan pelik.
Jiran yang enggan dikenali mendakwa, bapa dan anak lelakinya suka menghadap pagar rumahnya serta mengintai ke dalam.
Katanya, disebabkan itu, dia terpaksa memasang kanvas di pagar bagi mengelakkan mereka mengintai sejak awal tahun ini.
“Dua anak lelaki saya berusia 11 dan 15 tahun serta isteri mengadu tak selesa dengan tindakan itu. Saya pun tak tahu kenapa sebab saya baharu sahaja dua tahun berjiran dengan tiga beranak ini.
“Saya difahamkan dari pemilik rumah, tiga beranak ni baharu empat tahun menyewa kediaman itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bukit Kristal, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia yang terhidu bau busuk dari rumah jirannya itu telah meminta isteri untuk menghubungi polis.
Katanya, mangsa wanita mempunyai masalah kesihatan sehingga segala urusan menyidai dan mengangkat kain dilakukan dibuat suami dan anak lelakinya. – KOSMO! ONLINE