fbpx

SPRM bongkar penipuan, pemalsuan dokumen nilai RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk permohonan perintah reman semalam.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk dua pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Perintah reman selama empat hari hingga 5 Julai terhadap tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 6 petang hingga 7 malam pada 30 Jun lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Keempat-empat suspek termasuk dua yang merupakan bekas pengurus tadbir dan pembantu tadbir sebuah syarikat minyak tempatan dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2019 sehingga 2023.

“Kedua-dua suspek tersebut juga disyaki telah bersubahat dengan kedua-dua pemilik syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen PTW bernilai kira-kira RM5 juta,” katanya hari ini.

Menurut sumber, tangkapan terhadap kesemua suspek ini adalah susulan Op Effingo yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.

Pada 30 Jun lalu, BOK telah menggeledah 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa buah syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Lembah Klang.

“Melalui operasi yang dijalankan, SPRM telah menyita 22 akaun bank termasuk akaun ASB bernilai kira-kira RM2 juta dan juga pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000.

“Selain itu SPRM turut menyita tiga unit kereta mewah berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan tiga unit telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesalahan lain di bawah AMLATFPUAA 2001 berkaitan aliran wang yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI