NEW DELHI – Angka korban insiden letupan dan kebakaran sebuah kilang kimia di selatan India meningkat kepada sekurang-kurangnya 39 orang, lapor saluran berita CNN.
Letupan kelmarin itu turut mengakibatkan 34 individu cedera serta memaksa syarikat pembekal bahan farmaseutikal, Sigachi Industries menghentikan operasi selama 90 hari.
Kerajaan negeri Telangana menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden tersebut, manakala punca sebenar kejadian masih belum didedahkan oleh pihak syarikat.
“Kerja-kerja pembersihan serpihan giat dijalankan,” kata Pengarah Perkhidmatan Tindak Balas Bencana Kebakaran Telangana, GV Narayana Rao.
“Lebih 140 pekerja berada di kilang berkenaan ketika insiden berlaku. Daripada jumlah korban, 25 mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” kata Pegawai Pentadbiran Daerah, P. Pravinya.
Loji Sigachi di Telangana menyumbang lebih satu perempat daripada kapasiti keseluruhan syarikat, iaitu 21,700 juta tan metrik setahun. – AFP