SUATU ketika dahulu, kitalah yang dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik bukan sahaja di rantau Asia, bahkan di seluruh dunia dalam sukan hoki berdasarkan pencapaian serta prestasi dipamerkan.
Nama-nama seperti Datuk R. Yogeswaran, Datuk Mirnawan Nawawi, S. Kuhan dan S. Kumar sering membuat pemain-pemain lawan gerun setiap kali pasukan negara melangkah masuk ke dalam padang.
Malaysia juga pernah berada dalam kelompok elit hoki antarabangsa apabila pernah menghuni ranking kesembilan dunia, iaitu kedudukan paling tinggi yang pernah dicapai skuad Speedy Tigers.
Bagaimanapun, semua itu berubah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini apabila pasukan negara mula menunjukkan kemerosotan.
Terbaharu, Malaysia terus kempunan untuk melangkah ke separuh akhir dalam saingan Piala Negara-Negara FIH buat tahun kedua berturut-turut dan sekadar menamatkan kejohanan di luar kelompok empat terbaik.
Bagi penulis, pasukan negara semakin hampir untuk hilang status sebagai salah satu kuasa besar hoki dunia, terutamanya apabila kita sudah terkeluar daripada kelompok 10 pasukan teratas ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Mungkin ia sukar diterima tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan peminat-peminat hoki tanah air, lebih-lebih lagi kita tewas kepada Wales buat pertama kali di pentas antarabangsa pada Piala Negara-Negara sebelum ini.
Justeru, legenda hoki negara, Maninderjit Singh yang pernah beraksi di Sukan Olimpik sebanyak dua kali pada edisi Atlanta 1996 dan Sydney 2000 menyifatkan Speedy Tigers ketika ini belum mencapai status bertaraf antarabangsa.
Katanya, pencapaian sebagai pasukan keenam terbaik pada saingan Piala Negara-Negara sebelum ini harus membuka mata semua pihak mengenai kemampuan sebenar pasukan hoki kebangsaan.
“Pasukan ini hanya bertaraf kebangsaan, bukannya antarabangsa. Perbezaan antara kedua-dua status itu sangat besar, terutamanya dari segi kualiti pemain, keputusan perlawanan serta kemampuan mengurus pasukan ketika saat-saat genting.
“Sindrom 10 tahun kebelakangan ini terus berulang apabila kita gagal melepasi halangan pada saat paling penting, sama ada di kelayakan Olimpik, Sukan Asia ataupun Piala Negara-Negara,” katanya.
Berdasarkan apa yang dicapai pada saingan Piala Negara-Negara, pasukan negara seharusnya mengambil iktibar dengan ketua jurulatih, Sarjit Singh yang perlu mencari ramuan terbaik bagi memastikan Malaysia layak ke saingan Piala Dunia 2026.
Penulis menganggap keputusan mengecewakan diraih pada Piala Negara-Negara sebelum ini boleh menjadi peluang untuk barisan kejurulatihan mengenal pasti bentuk kelemahan yang perlu diperbaiki.
Pujian juga perlu diberikan kepada Sarjit apabila beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi yang dipamerkan selain sedia melepaskan jawatan seandainya gagal mengemudi Speedy Tigers ke Piala Dunia.
“Sebagai jurulatih, saya perlu mengambil tanggungjawab penuh.
“Bagi saya, tidak ada sebarang isu,” kata Sarjit yang juga pernah mengemudi skuad Speedy Tigers pada 2007. -KOSMO! ONLINE














