fbpx
SPEEDY TIGERS

Carolan mahu Speedy Tigers lebih kemas bertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan menggesa anak buahnya memperkemaskan aspek pertahanan meskipun berjaya meraih kemenangan berharga ke atas Korea Selatan menjelang aksi klasifikasi menentang Amerika Syarikat pada Piala Negara-Negara FIH 2026, semalam.

Kejayaan menewaskan Korea Selatan 2-1 bukan sahaja menamatkan kemarau kemenangan Speedy Tigers dalam kejohanan itu, malah menyuntik keyakinan baharu selepas pasukan terlebih dahulu dikecewakan Jepun dan New Zealand pada dua aksi awal Kumpulan A.

Bagaimanapun, Carolan menegaskan kemenangan tersebut tidak bermakna skuad negara sudah mencapai tahap terbaik kerana masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu menamatkan kempen dengan keputusan positif.

“Ia lebih baik dan satu langkah ke hadapan. Saya fikir kami menguasai bola dengan lebih baik dan fasa permainan juga lebih kemas walaupun masih ada beberapa kehilangan bola yang tidak sepatutnya berlaku.

“Pada tahap ini, keputusan adalah sesuatu yang sangat penting. Jadi, kemenangan ini memberikan petanda positif kepada pasukan,” katanya.

Pengendali itu turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang mudah cabaran Amerika Syarikat yang disifatkannya sebagai pasukan berdisiplin dan sedang giat membina kekuatan menjelang Sukan Olimpik.

“Amerika Syarikat adalah pasukan yang bekerja keras. Mereka mempunyai program yang baik dan sedang membuat persiapan serius menuju Sukan Olimpik. Kami perlu melakukan analisis yang tepat dan memastikan pasukan benar-benar bersedia sebelum turun beraksi,” ujarnya.

Sementara itu, kapten negara, Muhammad Marhan Jalil menyifatkan kemenangan ke atas Korea Selatan sebagai bukti semangat juang tinggi yang dipamerkan rakan sepasukan selepas melalui permulaan yang mengecewakan dalam saingan kumpulan.

“Saya sangat gembira kerana pasukan berjaya bangkit selepas dua kekalahan yang mengecewakan. Saya fikir semua pemain memberikan yang terbaik ketika menentang Korea Selatan.

“Kami mahu meneruskan momentum kemenangan ini. Amerika Syarikat pasti memberikan cabaran sukar, tetapi kami berharap dapat mengekalkan rentak yang sama,” katanya.

Malaysia dijadual membuat perhitungan dengan Amerika Syarikat dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan petang ini dengan kemenangan bakal membuka laluan buat Speedy Tigers memburu penamat di kedudukan kelima keseluruhan kejohanan. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN