PETALING JAYA – Pengguna pengangkutan awam tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter untuk mendapatkan pas perjalanan tanpa had My50 apabila fungsi digital pas tersebut mula diaktifkan dalam aplikasi Touch ’n Go (TNG) eWallet, bermula hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan perkhidmatan sedia ada serta meningkatkan kemudahan kepada pengguna.
“Pas ini diperkenalkan pada tahun 2019, penggal pertama saya menjadi Menteri Pengangkutan. Pada masa itu, MyKad digunakan kerana itu cara pelaksanaan paling cepat dan mudah.
“Kini, dengan perkembangan teknologi, TNG E-Wallet mempunyai 24 juta pengguna sedia ada yang telah melaksanakan e-KYC (pengesahan identiti). Ini membolehkan kita menawarkan My50 secara digital dan pada masa yang sama meminimumkan risiko salahguna oleh bukan warganegara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anthony, kerajaan kini dalam usaha memperluaskan inisiatif tersebut kepada Pas Harian sebagai pilihan alternatif pengguna.
“Seterusnya, usaha sedang dilaksanakan untuk memperluaskan pilihan digital kepada Pas Harian,” jelasnya.
Terdahulu, Anthony memberitahu untuk mengaktifkan pas My50 secara digital, pengguna perlu memautkan kad TNG fizikal mereka kepada aplikasi TNG eWallet, dan hendaklah mempunyai baki minimum RM5 apabila digunakan untuk sebarang perkhidmatan RapidKL.
Walau bagaimanapun, katanya. bagi pengguna pengangkutan awam atau warga emas yang belum biasa dengan aplikasi atau tidak mempunyai eWallet, mereka masih boleh memperbaharui atau mengaktifkan pas My50 seperti biasa menggunakan MyKad sedia ada dan hadir ke kaunter untuk urusan tersebut. – KOSMO! ONLINE