MUAR – Seorang pekerja kedai buah yang bakal menimang cahaya mata ketiga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal adik iparnya di Segamat, tahun lalu.
Tertuduh berusia 24 tahun yang juga bapa kepada dua anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap adik ipar perempuan berusia 14 tahun dalam bilik di sebuah rumah, di antara pukul 8 hingga 10 pagi, November tahun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 14 ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 iaitu tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa tinggal bersama tertuduh dan kakaknya yang juga isteri lelaki itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak menceritakan kejadian itu sehingga remaja itu berpindah ke rumah seorang lagi kakaknya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh serta membenarkan ikat RM12,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah meletakkan syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE