ISKANDAR PUTERI – Tembelang seorang wanita yang membuat laporan polis kononnya disamun dan wang majikannya dibawa lari dalam kejadian di Gelang Patah, ‘pecah’ apabila kejadian itu tidak pernah berlaku.
Sebaliknya, wanita berusia 23 tahun itu menggunakan wang milik majikan berjumlah RM21,000 untuk perbelanjaan peribadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, laporan itu diterima pada pukul 2.23 petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak berlaku dan wanita terbabit tampil membuat laporan palsu bagi menutup kegiatan jahatnya.
“Wang tunai itu sudah digunakan pengadu untuk perbelanjaan peribadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, selain kes berkenaan, pihaknya menerima satu lagi laporan polis palsu, pagi tadi.
“Kita menerima dua laporan berhubung kejadian samun berasingan yang mana setelah disiasat, kita mendapati laporan itu palsu.
“Laporan kedua diterima pada pukul 1.35 pagi tadi oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
“Pengadu mendakwa disamun di tepi jalan dekat kawasan Kangkar Pulai di sini, dan begnya yang mengandungi dokumen peribadi dilarikan,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengadu membuat laporan palsu bagi mengelakkan dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara ketika hendak membuat pembaharuan kad pengenalan yang sebenarnya hanya tercicir, bukan disamun.
Oleh itu, Kumarasan mengingatkan orang ramai bahawa membuat laporan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














