GEORGE TOWN – Bedah siasat ke atas mayat dua beranak yang ditemukan dalam keadaan sudah mereput di dalam bilik tidur utama, sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, malam tadi akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), pada pukul 9 pagi ini.
Kematian mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Difahamkan, wanita terbabit merupakan ibu tunggal yang berasal dari Kedah dan hanya tinggal dua beranak di kediaman tersebut.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan bau busuk yang menghantui penghuni di aras sembilan perumahan itu sejak lebih seminggu lalu telah membongkar penemuan mayat dua beranak dalam keadaan terlantar di lantai rumah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terkesan bau busuk dari kediaman itu pada pukul 4.41 petang semalam.
Pasukan siasatan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Balai Polis Sungai Nibong dengan dibantu anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memecah masuk ke dalam rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE