KUALA LUMPUR – UMNO memberi peringatan kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak menerima permohonan keahlian daripada bekas ahlinya, demi menjaga keharmonian dan kestabilan gabungan kerajaan sedia ada.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan menerima bekas ahli UMNO oleh mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan dianggap tidak wajar dan boleh mencetuskan ketegangan sesama komponen.
“UMNO merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti-parti dalam gabungan.
“(Ini) untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidak-harmonian dalam kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang baru-baru ini dilaporkan telah keluar dari UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pada 30 Mei lalu, Zafrul mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli UMNO dan sudah menyatakan hasrat menyertai PKR kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung, Dr. Fuziah Salleh.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa UMNO akan melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan, khususnya melibatkan pemimpin UMNO dalam kerajaan.
“(Ia) termasuklah pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE