MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju menaikkan kadar Skim Bantuan Makanan kepada asnaf miskin dan mualaf negeri ini kepada RM300 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kadar baharu itu akan dilaksanakan bermula esok.
“Sebelum ini kadar bagi Skim Bantuan Makanan adalah RM250 sebulan dan kita bersetuju untuk naikkan kepada RM300.
“Bagi asnaf fakir, kadar bantuan kekal sebanyak RM400 sebulan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira krisis kenaikan harga barang mentah yang menyebabkan kos barangan diberi kepada asnaf turut terjejas.
“Ia juga berdasarkan kepada skim-skim bantuan ini yang tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lepas.
“MAIM juga menaikkan Skim Bantuan Yuran Persekolahan Sekolah Rendah (one-off) bagi anak-anak asnaf miskin daripada RM70 kepada RM100, Skim Bantuan Tunai Mualaf RM200 kepada RM300 dan Skim Bantuan Tunai Mualaf Baharu (automatik) RM200 kepada RM300,” katanya.
Tambahnya, mengikut data pada 24 Jun 2025, penerima Skim Bantuan Makanan Bulanan MAIM (Bantuan Daruriyah) adalah seramai 7810 orang iaitu asnaf fakir seramai 112 orang dan asnaf miskin seramai 7698 orang.- KOSMO! ONLINE