PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan terus mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) selepas menyambar dua podium tempat kedua berturut-turut di Litar Motorland Aragon malam kelmarin.
Meskipun dinafikan kemenangan dengan perbezaan masa tipis dalam kedua-dua perlumbaan, pelumba berusia 13 tahun yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly tetap gembira dengan peningkatan prestasi biarpun diasak hebat wakil-wakil Eropah.
“Perlumbaan 1 memang sengit. Saya cuba lepaskan diri tapi tak berjaya. Strategi saya di pusingan akhir hampir menjadi, tetapi saya dipintas di laluan lurus.
“Pada Perlumbaan 2 pula sangat mencabar dengan terlalu ramai pelumba di depan. Saya hampir menang, tetapi Alessio Arnold berjaya memintas saya sebelum garisan penamat.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Hakim Danish yang banyak membantu saya dari segi strategi serta seluruh krew pasukan VHC yang sentiasa memberi sokongan padu di sini,” katanya.
Hasil dua penamat podium tempat kedua menghadiahkan 40 mata berharga buat jaguh cilik dari Terengganu itu sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan pungutan mata kepada 135 mata.
Tiga kemenangan dan tiga podium tempat kedua membolehkan Qabil melebarkan jurang kepada 43 mata di hadapan pencabar terdekat, Izan Alvarez (Sepanyol) yang kini mengumpul 92 mata.
Tempat ketiga dihuni Alessio Arnold (Itali) dengan 82 mata diikuti Enzo Zaragoza (Sepanyol) selepas mengumpul 65 mata dan pelumba Bulgaria, Nikola Miroslavov melengkapkan lima teratas meneriusi 55 mata.
Selepas ini, Qabil akan mengalihkan tumpuan ke perlumbaan pusingan keempat berlangsung di Litar Navarra, Sepanyol dari 17 hingga 20 Julai nanti.