DENVER, COLORADO – Pemilik sebuah rumah pengebumian di negeri Colorado dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun selepas didapati bersalah menyembunyikan hampir 190 mayat di dalam bangunan usang dan menghantar abu mayat palsu kepada keluarga si mati.
Saluran berita Fox News melaporkan, Jon Hallford didapati bersalah menipu pelanggannya dan berbohong kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan bantuan Covid-19 berjumlah hampir AS$900,000 (RM3.8 juta).
Hakim Nina Wang berkata, walaupun kes itu hanya tertumpu pada satu pertuduhan penipuan, keadaan dan skala jenayah tertuduh serta kesan emosi terhadap keluarga si mati mewajarkan hukuman maksimum.
“Ini bukan kes penipuan biasa,” katanya.
Semasa perbicaraan, tertuduh memberitahu hakim bahawa dia membuka rumah pengebumian untuk memberikan manfaat kepada kehidupan orang ramai sebelum semuanya menjadi tidak terkawal, terutamanya dirinya.
“Saya sangat menyesal atas tindakan saya. Saya masih membenci diri sendiri kerana apa yang saya lakukan,” kata pemilik Rumah Pengebumian Return to Nature tersebut.
Tertuduh dan isterinya, Carie, dituduh menyimpan mayat antara tahun 2019 hingga 2023 dan menghantar abu palsu kepada waris si mati.
Penyiasat menemui banyak mayat pada 2023 dalam keadaan bertindan di atas satu sama lain di sebuah bangunan yang dipenuhi pepijat di Penrose, Colorado. – AGENSI