fbpx

Pelantikan Shuhaily satu penghormatan buat PDRM – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (kiri) ketika menyerahkan tongkat kuasa JSJ Bukit Aman kepada Fadil  (kanan) selepas dilantik mengetuai AKPS sambil disaksikan Mohd. Khalid Ismail (tengah) pada di Menara 1, Bukit Aman di sini, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain ke jawatan baharu sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disifatkan sebagai satu penghormatan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kepercayaan yang diberikan kepada Mohd. Shuhaily untuk mengetuai agensi penting itu merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Pelantikan Shuhaily ini adalah satu penghormatan kepada PDRM kerana diberi kepercayaan mengetuai satu lagi agensi penting yang menjamin keselamatan negara.

“Saya percaya ini satu amanah berat, namun PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi demi memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan dari semasa ke semasa, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, di sini hari ini.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Mohd. Shuhaily dan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fadil Marsus serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Mohd. Khalid.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Jabatan Siasatan Jenayah di antara Datin Seri Ennie Salina Roseli dengan Datin Nurashidah Ishak.

Sementara itu, Mohd. Khalid menegaskan program solidariti dan penghargaan wajar diteruskan kerana ia memberi impak moral yang tinggi kepada warga pasukan keselamatan.

“Ia juga menunjukkan kepada masyarakat bahawa solidariti dalam kalangan pasukan polis berada dalam keadaan kukuh dan utuh.

“Inilah roh pasukan yang perlu kita pelihara agar semangat kekitaan ini dapat diterjemahkan dalam perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kerajaan bagi melaksanakan agenda-agenda penting negara,” ujarnya.

Untuk rekod, Mohd. Shuhaily akan memulakan tugas baharunya di AKPS selama dua tahun berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pelantikan beliau turut dilihat sebagai usaha memperkasa kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk negara dan kawasan sempadan dalam memastikan ancaman rentas sempadan dapat ditangani secara lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI