PETALING JAYA – Perbuatan mencium al-Quran Allahyarham Nurly Shahirah Azman secara berlebih-lebihan atau untuk mendapatkan ‘berkat’ boleh disifatkan sebagai khurafat yang ditegah oleh syarak.
Jelas penceramah bebas, Ustaz Nabil Ahmad, beliau menyelar tindakan itu sebagai tidak berlandaskan ajaran Islam dan boleh merosakkan akidah umat jika disertai dengan kepercayaan lain.
”Tindakan mencium al-Quran memang tidak ditegah dalam Islam, namun yang merisaukan adalah dengan berlebih-lebihan dalam ibadah.
”Ada riwayat sahabat nabi sendiri menceritakan Saidina Umar juga mencuim Kalam Allah itu, nabi tidak menegah tapi perlu mengikut garis panduan Islam sediakan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Ustaz Nabil turut menegaskan bahawa Islam juga telah menggariskan panduan jelas mengenai adab ziarah kubur, iaitu untuk menginsafi diri dan mengingati kematian, bukannya menjadikan tanah pusara sebagai objek ritual atau alat perubatan.
“Dalam ibadah jangan berlebihan, nabi pernah menegur tiga pemuda sebelum ini yang tidak ingin melakukan perkara dunia hanya ingin beribadah semata-mata.
”Baginda berkata, dia berpuasa dia akan berbuka, dia solat juga ada masa rehat,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dakwaan terdapat individu tidak dikenali yang mengambil tanah dari kubur pelajar UPSI itu di Besut, Terengganu dan menyapunya ke wajah atas kepercayaan tertentu.
Bapanya, Azman Mohamad, 63, sebelum ini turut melahirkan rasa kurang senang dan menasihatkan orang ramai agar menghormati kubur arwah serta tidak terpengaruh dengan kepercayaan tahyul. -KOSMO! ONLINE