fbpx
SISA elektronik itu merangkumi peranti elektronik yang dibuang seperti komputer, televisyen, telefon bimbit dan peralatan rumah. – GAMBAR HIASAN

K2

Sisa elektronik import cemari tanah dan nyawa rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDEDAHAN mengejutkan mengenai lebih RM1 bilion kerugian akibat pembuangan sisa elektronik haram merupakan satu amaran yang tidak boleh diabaikan. 

Ketika Malaysia terus maju ke arah perkembangan industri dan kemajuan digital, pembuangan sisa elektronik dari negara maju kini menjadi api dalam sekam yang mengancam  alam sekitar dan kesihatan kita.

Sisa elektronik merangkumi peranti elektronik yang dibuang seperti komputer, televisyen, telefon bimbit dan peralatan rumah. Bahan-bahan ini sering mengandungi bahan toksik seperti plumbum (Pb), arsenik (As) dan merkuri (Hg). Apabila dikendalikan secara tidak selamat, bahan-bahan toksik ini dilepaskan ke udara, tanah dan air.

Golongan yang paling terkesan secara langsung oleh pendedahan bahan toksik ini ialah kanak-kanak dan para pekerja di tapak pembuangan sampah.

Kajian menunjukkan peningkatan kes masalah pernafasan, penyakit kulit, kerosakan buah pinggang, malah kanser dalam kalangan komuniti yang terdedah kepada pemprosesan sisa elektronik. Pendedahan jangka panjang, khususnya terhadap kanak-kanak, boleh menjejaskan perkembangan otak dan menyebabkan kerosakan neurologi yang kekal.

Namun, kesannya tidak terhenti di situ. Bahan toksik ini akan kekal di dalam tanah dan air untuk beberapa generasi akan datang dan membawa kemudaratan kepada masa depan rakyat Malaysia. Logam berat ini diserap oleh tanaman lalu berkumpul sebagai bahan toksik dalam rantaian makanan.

Pengumpulan logam berat di dalam sel-sel manusia boleh membawa kepada perubahan genetik yang merentasi generasi yang kemudiannya mewarisi mutasi ini selama beberapa keturunan. Walaupun kesan ini terhadap manusia masih dalam peringkat teori, kajian ke atas mikroorganisma seperti cacing gelang caenorhabditis elegans telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada logam berat memberi kesan kepada pertumbuhan, pembiakan dan tindak balas imun dalam generasi seterusnya.

Apabila China yang sebelum ini merupakan pengimport sisa elektronik terbesar dunia mengharamkan import tersebut pada 2018, banyak negara maju mula mengalihkan penghantaran mereka ke Asia Tenggara. 

Malaysia dengan tahap penguatkuasaan yang lemah dan kos buruh yang rendah, menjadi destinasi pilihan. Malaysia merupakan penandatangan kepada Konvensyen Basel yang bertujuan menghalang pergerakan sisa berbahaya melepasi sempadan negara. Maka, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengurus sisa berbahaya secara lestari dan meminimumkan pergerakan rentas sempadan bahan buangan.

Kesan daripada import sisa elektronik yang tidak terkawal bukan sahaja berkaitan dengan isu kesihatan dan alam sekitar pada ketika ini, tetapi turut membawa kesan jangka panjang. 

Ekosistem yang tercemar membawa kepada hasil pertanian yang berkurangan, rantaian makanan yang tercemar dan kepupusan biodiversiti. Kos rawatan kesihatan dan pemulihan alam sekitar pula akan menjadi beban kepada pembayar cukai di masa hadapan. 

Tambahan pula, Malaysia berisiko dilabel sebagai ‘tapak pelupusan global’ sekali gus mencemarkan imej negara di mata dunia, menjejaskan pelancongan dan menghalang pelaburan lestari dari luar.

Pendedahan mengenai sindiket pengimport sisa elektronik mesti diberi perhatian serius. Semua sektor bukan hanya alam sekitar dan kesihatan perlu berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran serta melaksanakan piawaian ketat terhadap pengeluaran dan pengurusan sisa elektronik.

Kesan buruk mungkin tidak kelihatan serta-merta, mungkin bukan dalam tempoh lima tahun akan datang. Namun, Malaysia tidak boleh leka. Tindakan dan penguatkuasaan terhadap operasi sisa elektronik haram perlu dilaksanakan dengan segera. Pihak berkuasa mesti meningkatkan pemantauan di pelabuhan, menambah ketelusan dalam pemberian lesen kitar semula serta bekerjasama dengan badan antarabangsa bagi menghentikan pemerdagangan sisa berbahaya.

Kempen kesedaran awam juga amat penting. Sekolah dan universiti memainkan peranan penting dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran dari usia muda. Pengguna pula harus digalakkan untuk mengitar semula secara bertanggungjawab dan menuntut agar pengeluar mengamalkan kaedah yang lebih hijau dan mampan.

Jika rakyat Malaysia terus menutup mata terhadap krisis ini, generasi akan datang yang akan menanggung akibatnya. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah, tanah dan air kita kini sudah mula mengalami kerosakan. 

Dalam tempoh 30 hingga 50 tahun sahaja lagi, sumber yang kini kita nikmati sebagai subur dan menyokong kehidupan mungkin akan lenyap. Keputusan untuk melindungi rakyat dan alam sekitar daripada bahaya sisa elektronik bukan sekadar isu alam sekitar, ia adalah soal moral, ekonomi dan kelangsungan negara. Masa untuk bertindak adalah sekarang, sebelum kerosakan ini tidak dapat dipulihkan lagi.

*PENULIS merupakan Pensyarah Kanan Sekolah Perubatan Antarabangsa, Management and Science University

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN