IPOH – Penjaja dan peniaga kecil di sekitar Kinta mendakwa menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi daripada pengedar sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta (Payung), Jaafar Uthman berkata, pengedar didakwa mengehadkan pesanan yang dibuat peniaga dengan alasan kekurangan bekalan.
Katanya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan operasi harian peniaga malah dikhuatiri berlarutan sehingga pindaan baharu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dimuktamadkan Oktober ini.
“Sebelum ini, jika kami memesan tiga tong gas bersaiz 14 kilogram, kami akan menerima jumlah sama, tetapi kini hanya dapat dua atau satu tong.
“Apabila ditanya, pengedar memberi alasan kekurangan bekalan, sedangkan sebelum ini tiada masalah. PPKB belum pun dilaksanakan, tetapi tong gas sudah hilang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Payung Kali Ke-36 Tahun 2025/2026 di sini hari ini.
Menurut Jaafar, pihaknya bimbang isu bekalan tong gas ini akan menjadi seperti masalah kekurangan minyak masak peket bersubsidi dan beras putih tempatan yang sukar diperoleh dalam pasaran.
“Kita tidak mahu isu tong gas bersubsidi ini menjadi seperti bekalan beras dan minyak masak. Kerajaan perlu ambil perhatian serius. Di Parlimen beritahu bahawa bekalan mencukupi tapi rakyat di bawah susah mendapatkannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jaafar meminta kerajaan tidak melaksanakan LPG komersil (tong ungu) kepada peniaga makanan kerana langkah itu dianggap membebankan selain dikhuatiri menyebabkan kenaikan harga makanan. – KOSMO! ONLINE