PETALING JAYA – Pengarah Erma Fatima menyifatkan pelakon Puteri Balqis atau Aqish sebagai permata yang mempunyai bakat lakonan luar biasa dalam industri seni tanah air.
Menurut Erma, bakat hebat yang dimiliki Aqish membuatkannya tidak teragak-agak untuk menghasilkan sebuah karya istimewa sebelum ini iaitu Akulah Balqis.
“Saya jenis terokai bakat lakonan seseorang seperti Puteri Balqis yang saya ambil berlakon sejak umurnya baru enam tahun.
“Saya lihat dia mempunyai bakat lakonan ‘lain macam’. Disebabkan itu, saya tulis satu skrip khusus untuknya iaitu Akulah Balqis,” katanya dalam satu temu bual podcast.
Dalam temu bual sama, Erma menegaskan dia yakin Aqish sememangnya layak dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2014.
“Dia tak boleh dicalonkan dalam kategori pelakon kanak-kanak sebab saya tak rasa dia layak untuk bertanding kategori tersebut.
“Dia layak lawan untuk pelakon terbaik,” katanya lagi.
Erma juga mendedahkan dia bertelagah dengan pihak stesen televisyen bagi memastikan Aqish tercalon untuk anugerah tersebut.
“Lepas bergaduh dan bertekak dengan pihak stesen, akhirnya dia dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik walaupun ketika itu usianya baru tujuh tahun.
“Saya rasa dia ini lahir-lahir dari perut mak dia terus ada bakat.
“Aqish adalah salah seorang pelakon terbaik. Tak semua orang ada bakat macam dia,” ujarnya.
Pada 2014, Aqish mencipta sejarah apabila menjadi pemenang termuda bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) menerusi drama Akulah Balqis. – KOSMO! ONLINE