SEOUL – Seorang lelaki ditahan selepas membakar sebuah gerabak kereta api di Korea Selatan kerana marah bercerai dengan isterinya, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.45 pagi (waktu tempatan) di sebuah stesen kereta api bawah tanah dekat Seoul, 31 Mei lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik di media sosial memaparkan suspek yang hanya dikenali sebagai Won, 67, mencurahkan petrol ke atas lantai gerabak.
Penumpang lain panik dan bergegas melarikan diri apabila cecair tersebut mengalir ke kaki mereka.
Won kemudian menyalakan api, menyebabkan gerabak itu terbakar dan diselubungi asap tebal.
Polis tempatan berkata, seramai 129 orang memerlukan pertolongan cemas di tempat kejadian, manakala 23 lagi dibawa ke hospital berhampiran kerana terhidu asap.
“Suspek ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.
“Dia bukan sahaja merancang serangan itu, malah memilih waktu paling sibuk untuk mencetuskan kebakaran.
“Siasatan awal mendapati bahawa tindakan suspek dicetuskan kerana berasa tidak puas hati terhadap perceraiannya,” kata polis dalam satu kenyataan. – AGENSI