SUNGAI BULOH – Bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut ditikam rakan serumah dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata kedua-dua mereka tiba bersama dari Kelantan sejak kira-kira enam bulan lepas sebelum kejadian terbabit.
“Siasatan awal polis mendapati berlakunya pertengkaran antara mereka mengenai hal dalaman rumah berkenaan isu bilik bersepah.
“Dalam pergaduhan itu, mangsa berusia 33 tahun maut dengan kesan tikaman pisau oleh rakannya (suspek) berusia 40 tahun,” katanya.
Tambah Mohd. Hafiz, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Terdahulu polis menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 memaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua lelaki di sebuah rumah di Jalan Gajah 6 pada pukul 11.26 malam.
Sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia 33 tahun ditemukan terbaring di ruang tamu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri.
Seorang lagi lelaki yang juga penghuni rumah tersebut berada di lokasi kejadian sebelum ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.- KOSMO! ONLINE