GEORGE TOWN – Pakar ilmu falak dan astronomi, Datuk Dr. Abdul Halim Abdul Aziz, 67, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Pulau Pinang sempena sambutan Maal Hijrah 1447H/2025M yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dalam satu majlis penuh istiadat yang diadakan sempena sambutan bersejarah umat Islam itu.
Abdul Halim, anak jati Pulau Pinang dan bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang astronomi dan X-ray Crystallography menerima sijil penghargaan, trofi, hadiah sampingan dan wang tunai RM10,000 dalam majlis itu.
Abdul Halim yang juga merupakan pengasas Lisafa Centre (Literasi, Sains, Agama dan Falsafah) di Pulau Pinang berkata, beliau berasa terharu atas penghormatan tersebut dan tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas penghormatan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di sini, hari ini.
Selain Abdul Halim, Datuk Dr. Mohamed Amir Shah Abdul Aziz,47, dianugerahkan Anugerah Ikon Pendakwah manakala Anugerah Khas diterima oleh Profesor Dr. Noor Inayah Yaakub, 56. – KOSMO! ONLINE