PETALING JAYA – Penampilan terbaharu bekas peserta program realiti, Malaysian Idol musim pertama, Saiful mengejutkan netizen selepas videonya sedang berkaraoke tular dalam media sosial.
Dalam sepotong video yang dimuat naik dalam TikTok, penampilan penyanyi yang berasal dari Sarawak itu dilihat kini kian berubah menjadi seperti seorang wanita dan sepertinya memiliki payudara.
Ketika video tersebut dirakam, dia sedang menyanyikan lagunya yang pernah popular sebelum ini iaitu Ku Juga Mencintaimu.
Biarpun ramai netizen yang mengecam penampilan terkininya yang lari daripada fitrah asal, ada juga yang memuji suaranya masih sedap dan sama seperti dulu.
“Seriuslah ini Saiful? Dulu waktu jadi lelaki comel saja. Tapi masih sedap suara dia,” komen netizen.
Ada juga netizen yang mendedahkan pernah bertemu Saiful lima tahun lalu untuk mendapatkan khidmat solekan daripadanya.
“Lama dah tak jumpa dengan dia ni. Kali terakhir 2020. Dia tolong mekapkan muka aku. Jarak rumah kami pun lima minit sahaja,” komen seorang lagi netizen.
Menyingkap semula pembabitan Saiful atau nama sebenarnya Mohammad Saipul Bakeri, 39, dalam bidang seni suara bermula dengan penyertaannya dalam rancangan realiti Malaysian Idol musim pertama yang ditayangkan pada tahun 2004 bersama dengan Jaclyn Victor, Dina Nadzir dan Nikki Palikat.
Saiful kemudian muncul dengan album yang memuatkan lagu popular, Ku Juga Mencintaimu. Dia juga pernah berduet dengan Misha Omar menerusi lagu Tak Ku Duga. – KOSMO! ONLINE