JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dirantai bapa kandungnya selama beberapa jam sebagai hukuman kerana mengelap televisyen menggunakan kain basah, lapor portal berita JPNN semalam.
Kejadian berlaku di Banyuasin, wilayah Sumatera Selatan pada Sabtu lepas.
Rakaman video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kompastv menunjukkan kanak-kanak terbabit dirantai pada leher di tingkap rumah mereka.
Lebih kejam, rantai besi itu dikunci dengan mangga.
Suspek bernama Idham Alfarizi, 43, diberkas polis bersama peralatan yang digunakan untuk merantai mangsa.
Semasa disoal siasat, suspek mengaku berbuat sedemikian kerana mangsa membersihkan televisyen dengan kain basah dan gemar bermain pisau.
Dia mengaku meninggalkan rumah sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) untuk bekerja dan membiarkan anaknya dirantai hingga pagi.
“Selepas merantainya, saya keluar bekerja. Saya lupa dia masih dirantai sehingga penduduk tempatan melepaskan rantai besi itu,” kata suspek.
Ketua Polis Rambutan, AKP Ledi berkata, siasatan masih giat dijalankan. – AGENSI