WASHINGTON – Sebuah penerbangan American Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas enjin pesawat itu dilaporkan mengeluarkan api dan asap ketika berada di ruang udara.
Seorang jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid di Las Vegas berkata, asap keluar daripada enjin kiri penerbangan 1665 sejurus selepas pesawat itu berlepas, minggu ini.
Klip video kejadian memaparkan detik cemas pesawat itu mengeluarkan percikan api.
Menurut American Airlines, pesawat jenis Airbus A321 itu selamat mendarat di lapangan terbang berkenaan walaupun berdepan masalah mekanikal.
American Airlines menyatakan, tiada bukti berlakunya kebakaran enjin, meskipun rakaman video menunjukkan api keluar daripada salah satu enjinnya.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menyifatkan kejadian itu berpunca daripada masalah enjin dan siasatan masih giat dijalankan. – AGENSI