ATLANTA – Perhitungan pusingan 16 terbaik antara juara Eropah, Paris Saint-Germain dan wakil Amerika Syarikat, Inter Miami di Stadium Mercedes-Benz pada Isnin ini bakal menambah cerita menarik dalam kempen Piala Dunia Kelab kali ini.
Bintang sensasi Miami, Lionel Messi dijangka menerima ‘layanan buruk’ daripada para pemain PSG yang mungkin berhajat untuk menghadirkan hadiah terburuk kepada kapten Argentina itu yang baharu saja menyambut ulang tahun ke 38 pada Selasa lalu.
“Ia menjadi sesuatu yang menarik untuk kembali menemui Messi selepas kami menghabiskan tempoh dua tahun bersama. Terdapat banyak detik indah, namun dalam padang kami bukan lagi sahabat.
“Dia akan cuba memenangi perlawanan, begitu juga dengan kami. Jadi sudah pasti kami akan beri segala-galanya untuk cuba melangkah ke pusingan seterusnya,” kata tonggak pertahanan PSG, Achraf Hakimi.
Untuk rekod, sepanjang menyarung jersi The Parisians, Messi pernah dua kali memenangi Ligue 1 bersama PSG, namun perjalanan kariernya tidak lengkap apabila gagal memenangi pertandingan peringkat benua.
Messi seterusnya menamatkan perjalanan kariernya di Perancis sejurus mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia dengan merekodkan 32 gol dan 34 bantuan jaringan sepanjang 75 penampilan bersama PSG.
“Bertemu Messi? Ia sesuatu yang bagus untuk kami dan juga saya. Kami menentang pemain terbaik dunia, namun kami tetapi mengharapkan kemenangan akan berpihak kepada kami,” kata penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma. – AGENSI