JAKARTA – Keluarga pelancong Brazil yang ditemui mati di Indonesia, beberapa hari selepas terjatuh semasa mendaki sebuah gunung berapi mengkritik usaha menyelamat sebagai terlalu perlahan, sebelum pihak berkuasa melakukan autopsi untuk mengenal pasti masa kematian mangsa.
Juliana Marins, 26, hilang di atas gunung berapi kedua tertinggi Indonesia, Gunung Rinjani di Pulau Lombok pada Ahad lalu.
Usaha menyelamat mangsa dihalang cuaca buruk dan bentuk muka bumi mencabar selepas pihak berkuasa menemui tubuh Juliana yang tidak bergerak dengan menggunakan dron.
Anggota-anggota penyelamat akhirnya sama ke lokasi mangsa terjatuh petang Selasa lepas dan memindahkan mayatnya sehari kemudian.
Keluarganya mendakwa bahawa Juliana masih boleh diselamatkan sekiranya pasukan penyelamat dapat sampai kepada mangsa dalam tempoh beberapa jam dan bukannya beberapa hari.
“Juliana menjadi mangsa kecuaian pasukan penyelamat. Dia mungkin masih hidup sekiranya pasukan penyelamat sampai kepadanya dalam tempoh anggaran 7 jam,” kata keluarga mangsa dalam satu kenyataan di laman Instagram petang semalam.
Dalam hantaran di media sosial hari ini, keluarga mangsa bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang membantu memindahkan mayatnya. – AFP