fbpx

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara didakwa lagi, terima Range Rover Sport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi Pegawai SPRM selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menerima suapan sebuah kereta mewah. Gambar ARIF HAMIZAN MISKON

MELAKA – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah daripada seorang pengarah sebuah syarikat subkontraktor, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima untuk diri sendiri satu suapan iaitu sebuah kenderaan jenis Range Rover Sport daripada seorang pengarah syarikat sebagai dorongan menganugerahkan kerja-kerja subkontraktor berkaitan tambakan laut di kawasan Kota Laksamana.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat subkontraktor berkenaan di Taman Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah pada Jun 2015.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi berdasarkan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah menggunapakai syarat jaminan sama susulan tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor pada 18 Jun lalu.

Sebelum ini, Mohamad Ali dibenarkan diikat jamin RM60,000 untuk kesemua 20 pertuduhan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan juga bercadang untuk memindahkan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk perbicaraan.

Mahkamah kemudian membenarkan menggunapakai syarat jaminan sedia ada dan menetapkan tarikh 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI