fbpx

‘Saya tidak minta derma, tapi tolong beli koleksi lukisan ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUTY SUMARNI menunjukkan sebahagian koleksi seni Islamiknya yang akan dijual bagi tampung pembedahan lutut di TTDI, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Demi menampung kos pembedahan ke­dua-dua lutut yang dianggarkan mencecah RM40,000, seorang pemilik galeri seni mengambil keputusan untuk melelong koleksi seni Islamik miliknya yang dikumpul sejak lebih dua dekad lalu.

Pemilik Galeria Al-Atiyah, Tuty Sumarni Datuk Hoessein Enas, 70, yang juga ibu tunggal kepada seorang anak, kini menderita osteoartritis tahap empat yang menjejaskan pergerakan harian serta memerlukan pembedahan penggantian sendi lutut (knee replacement) bagi kedua-dua belah kakinya.

Menurut Tuty Sumarni, beliau kini hanya mampu bergerak dengan bantuan tongkat dan tidak dapat berdiri lama, selain menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Doktor memaklumkan lutut kanan saya lebih teruk berban­ding kiri tetapi kedua-duanya perlu diganti. Kos satu pembedahan dianggarkan RM20,000. Saya tidak minta derma, cuma mohon orang ramai membeli hasil seni saya untuk menampung kos rawatan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini semalam.

Tambahnya, beliau juga pernah mengusahakan sebuah resort di Pulau Kapas sebelum membuka galeri seni selepas menunaikan haji pada 2004 sebagai ikhtiar berdakwah melalui karya seni.

Antara koleksi yang dilelong termasuk lukisan akrilik dan minyak atas kanvas, plat tembaga, perhiasan mother of pearl, bingkai kayu dan pelbagai hasil seni Islamik yang dibawa masuk dari Indonesia, Syria dan Turki.

Beliau menjelaskan, harga karya ditawarkan pada kadar separuh daripada nilai asal dan ada antaranya dijual serendah RM20, bergantung kepada saiz dan jenis bahan.

“Dulu saya aktif menyertai pameran, malah hasil seni saya pernah dibeli pihak istana dan agensi korporat. Namun, kini semuanya dilakukan dari rumah. Saya cuma mahu kembali sihat dan berdiri tanpa kesakitan,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi beliau secara terus di talian 019 215 1938 untuk melihat sendiri koleksi seni yang masih ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI