Pengalaman memancing layang ikan trout di Turangi, New Zealand sememangnya tidak dapat dilupakan. Trip ini hanya saya bersama isteri. Rutinnya, kami akan bangun awal untuk bersarapan dan menyediakan makan tengah hari yang akan di pek untuk perjalanan memancing.
Setelah selesai persiapan, barangan akan dimuatkan ke dalam kereta yang disewa. Kami akan terus ke Sungai Tongariro yang terletak hanya lima minit dari tempat penginapan kami.
Ada harinya, isteri akan menemani saya berjalan di sepanjang denai di tepi sungai. Kadangkala, dia akan naik ke tebing tinggi, melihat saya memancing di tebing bawah.
Pada hari lain, dia hanya menghantar saya ke sungai dan kemudian melakukan aktiviti sendiri, sama ada hiking di denai-denai yang menarik di kawasan sekitar atau sekadar cuci mata di beberapa kedai kecil di pekan terdekat.
Hari pertama
Pada hari pertama memancing, kami berdua berjalan di denai tepi sungai selepas menyeberangi jambatan gantung yang melintasi Sungai Tongariro. Saya kemudian menuruni cerun curam untuk sampai ke sungai sambil cuba mengelak daripada terkena duri pokok blackberry yang boleh tersangkut pada pakaian dan mencederakan kulit.
Isteri saya pula meneruskan perjalanan di denai tadi, dan kami telah bersetuju untuk berjumpa semula pada waktu tengah hari.
Ternyata pilihan tempat memancing itu tepat kerana saya mendapat lima sambaran dan berjaya mendaratkan dua ekor trout bersaiz kasar. Permulaan yang bagus untuk trip memancing saya.
Dua ekor trout lagi terlepas, seekor lagi membenam ke reba dan berjaya memutuskan tippet 3X (6lb).
Selepas itu, saya terus berjumpa dengan isteri untuk makan tengah hari. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke hulu sungai.

Dalam pada itu, kami sempat singgah di lokasi yang berpotensi di sepanjang jalan tepi sungai.
Kebanyakan lubuk-lubuk ikan di sungai ini ada papan tanda arah yang jelas untuk pemancing kerana perikanan trout di sini diurus dengan baik oleh pihak berwajib.
Ikan culas
Saya tidak dapat menggoda seekor pun ikan trout di lubuk-lubuk ini, walaupun boleh kelihatan dengan jelas ia bermain di dalam air yang sangat jernih.
Disebabkan air bak kristal itulah ikan-ikan trout ini menjadi sangat culas kerana dapat melihat tali pancing yang dilayangkan.
Ikan-ikan ini mudah terkejut, sebaik sahaja ia mengesan kehadiran manusia di tebing atau tali pancing layang di air, maka tingkah lakunya akan berubah serta-merta.
Ia akan menjadi lebih berwaspada dan selalunya akan menjadi pegun atau berhenti mencari makanan. Apabila terjumpa situasi sebegini, pasti sesi pancingan akan menjadi sangat menyukarkan.
Umpan layang cicada
Lewat petang itu, saya menyeberangi jambatan gantung, sebelum berjalan semula ke hulu di tebing bertentangan untuk memancing di satu anak sungai kecil. Saya bernasib baik kerana berjaya menangkap seekor ikan trout bersaiz cantik.
Kebetulan ketika itu serangga cicada sedang aktif dan membuat bising. Kebetulan juga saya dapat melihat dengan jelas bagaimana seekor cicada yang sedang terbang terjatuh ke dalam sungai, sebelum dilahap oleh ikan.
Terus saya mendapat inspirasi di atas kejadian tersebut dan menukar umpan layang yang digunakan kepada satu paten umpan yang mimik serangga sama.

Sebaik umpan cicada saya mencecah air, ia terus disambar rakus.
Ikan saya layan dengan tenang, walaupun di rembang senja yang hampir gelap, ia akhirnya berjaya ditangguk naik.
Kejayaan mendapatkan ikan ini juga disebabkan cuaca yang hampir gelap dan pendekatan saya untuk senyap menyebabkan ikan kurang culas. Jadi, ia tertarik kepada umpan layang yang saya suakan. Ikan itu dibawa balik sebagai lauk makan malam kami.
Oleh kerana sungai dan tasik di kawasan ini diuruskan dengan baik, populasi ikan trout sangat banyak dan pemancing yang berkunjung digalakkan untuk membawa balik hasil tangkapan, tetapi bukan kesemuanya. Ia dalam had dan saiz yang dibenarkan sahaja (selected harvest).
Ini merupakan satu praktis yang baik kerana jika jumlah ikan trout terlalu banyak di satu-satu lokasi, ditakuti sumber makanannya bakal menjadi terhad.
Ini akan menyebabkan saiz ikan trout tidak menjadi ‘bagak’.
—
Bersambung di bahagian kedua pada minggu hadapan. Kenali spesies ikan trout di Turangi dan ketahui bagaimana nasihat daripada pemancing tempatan dapat meningkatkan kejayaan saya menaikkan ikan trout dengan mengubah teknik dan persembahan umpan layang.














