MUAR – Seorang penjual burger yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan kerusi angkara cemburu pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Muhammad Hamirullah Hadi Mohd Hamidi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 28 tahun dengan kerusi meja solek di sebuah rumah di Taman Damai, Sungai Abong di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.30 pagi, 20 Jun lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan laporan, tertuduh mendirikan rumah tangga awal tahun ini dikatakan cemburu terhadap isterinya yang bekerja di sebuah kafe.
Tertuduh mengambil kerusi meja solek lalu memukulnya hingga kecederaan di muka, badan dan tangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh diwakili peguam Fatimah Zahrah Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,500 dengan syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai.-KOSMO! ONLINE