PUTRAJAYA-Malaysia dan Republik Kyrgyz menyuarakan sokongan agar Afghanistan diterima semula oleh komuniti antarabangsa dengan beberapa syarat-syarat tertentu sebagai langkah penting ke arah kestabilan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu dibuat berikutan Malaysia menyokong pandangan Preside Kyrgyz, Sadyr Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa.
“Kami turut menyentuh isu antarabangsa termasuk situasi di Afghanistan. Saya menyokong pandangan Presiden Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa dengan syarat-syarat tertentu.
“Saya berkongsi pandangan dalam hal ini kerana sebagai sebuah negara lebih dekat dengan Afghanistan, pastinya Kyrgyz mempunyai pemahaman lebih mendalam dan kami pasti mengambil manfaat daripada nasihat serta pandangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Presiden Zhaparov di Kompleks Seri Perdana di sini tadi.
Untuk rekod, ketika ini, tiada negara di dunia secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban sebagai kerajaan yang sah bagi Afghanistan selepas kumpulan itu mentadbir negara berkenaan sebagai Emiriah Islam Afghanistan sejak 2021.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengulangi pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin dan Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
“Malaysia menggesa Israel menghentikan segala bentuk keganasan, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Kami menyokong penuh hak rakyat Gaza untuk hidup dalam keadaan aman dan berdaulat, selepas sekian lama dizalimi dan dikhianati oleh kegagalan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Jelas Anwar, Malaysia juga mengecam sikap hipokrit segelintir negara barat yang berdiam diri terhadap kekejaman Israel tetapi lantang dalam isu lain melibatkan negara Islam.
Terdahulu, Zhaparov mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam yang mana ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.
Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan Perdana Menteri ke Kyrgyz pada Mei 2024. – KOSMO! ONLINE