PETALING JAYA – Tindakan sebuah keluarga yang menempah perkhidmatan e-hailing jenis empat tempat duduk tetapi cuba menaiki dengan lima orang mengundang padah apabila mereka dihalau keluar oleh pemandu.
Situasi tersebut dikongsikan pengguna Threads @Syafikarasidi yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir penumpang yang suka mengambil kesempatan terhadap pemandu e-hailing.
“Pernah kena macam ni banyak kali, ambil kesempatan tempah 4 seater tapi naik empat orang dengan seorang budak. Budak pun ‘people’ (manusia), janganlah macam ni.
“Bayangkan datang ‘pickup’ (jemput) jauh-jauh, tiba-tiba muncul lima orang, terpaksa batalkan. Rugi masa, rugi minyak. Malas nak cakap banyak, nanti ada yang suruh berhenti bawa Grab,” katanya.
Perkongsian itu turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menyokong tindakan pemandu terbabit.
“Bagus pak cik ni, daripada nak kena saman atau berlaku kemalangan dan disalahkan, baik halau awal-awal,” komen Azlan Shuib.
“Kalau anaknya tu bayi usia setahun boleh gagah lagi lah. Ini dah besar dah,” ujar Ikhmal.
“Ini dekat luar negara sangat normal. Mereka takkan ambil kalau penumpang lebih daripada yang ditempah. Walaupun ada bayi sekalipun, mereka sanggup batalkan pesanan. Jadi baguslah pemandu e-hailing Malaysia dah mula ikut cara ni,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE