BRASILIA – Seorang pelancong Brazil yang terperangkap berhari-hari selepas terjatuh ke dalam lubang dari tebing sebuah gunung berapi aktif di Indonesia ditemui tidak bernyawa semalam, setelah usaha gigih untuk menyelamatkannya gagal disebabkan cuaca buruk.
Penari tarian tiang berumur 26 tahun, Juliana Marins mendaki Gunung Rinjani yang popular di rantau Asia Tenggara bersama sekumpulan rakan apabila dia tergelincir dan jatuh lebih 100 meter ke bawah tebing, Sabtu lalu, demikian menurut pihak berkuasa Indonesia.
Setakat kelmarin, pelancong itu telah tergelincir ke bawah pada jarak lebih 500 meter.
“Jeritan meminta tolong oleh Marins jelas kedengaran, manakala rakaman dron menunjukkan dia masih hidup selepas jatuh kali pertama.
Bagaimanapun, petugas-petugas penyelamat tidak dapat menghubunginya kerana kabus tebal menyelubungi gunung berapi itu dan cuaca buruk lain.
Selain masalah penglihatan, ketua penyelamat tempatan, Muhammad Hariyadi berkata wanita muda itu terperangkap di atas pasir lembut, menyukarkan usaha untuk menyelamatkannya dengan tali.
Dua percubaan menyelamat yang sia-sia dilakukan, kata pihak berkuasa.
“Selepas empat hari bekerja, dihalang oleh cuaca buruk, bentuk muka bumi dan jarak penglihatan terhad, pasukan dari Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia menemui mayat pelancong Brazil itu,” kata kerajaan Brazil dalam satu kenyataan semalam.
Tidak jelas punca kematian Marins atau sama ada mayat mangsa telah dikeluarkan.
Akhbar The US Sun berkata, dia bekerja di bidang publisiti di Brazil, dan laman Instagramnya menunjukkan dia juga seorang penari tiang.
Keluarga mangsa berkata dalam satu kenyataan, “Hari ini (semalam) pasukan penyelamat memeriksa lokasi di mana Juliana Marins berada.
“Dengan rasa sedih kami terpaksa melaporkan bahawa dia tidak terselamat. Kami tetap sangat berterima kasih atas semua doa, mesej kasih sayang dan sokongan yang kami terima.”
Kira-kira 50 orang terlibat dalam pencarian tersebut.
Susulan penemuan itu, trek mendaki Gunung Rinjani ditutup untuk membantu usaha pemindahan dan sebagai penghormatan kepada Marins dan keluarganya, kata Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni. – AGENSI