ATLANTA – Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente menganggap status pasukan pilihan tidak membebankan pasukannya sebaliknya ia satu perkara yang cukup positif untuk mengharungi kempen Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, De La Fuente mengakui reputasi itu tidak menjamin apa-apa dan fokusnya kini adalah mengelak sebarang kejutan pada perlawanan pertama menentang Cape Verde di Stadium Atlanta, tengah malam ini.
“Banyak negara yang memiliki ramai pemain yang bersaksi baik di kelab, ada sesetengah pasukan juga dapat menyesuaikan diri lebih baik dengan cuaca. Tidak boleh dinafikan lagi, perlawanan terpenting sekarang adalah menentang Cape Verde.
“Apa maksud sebenar pasukan pilihan? Adakah ia bermakna ramai orang bercakap mengenai sesebuah pasukan atau pun peluang untuk juara dunia? Secara realistiknya, adakah kamu anggap kami lebih bagus berbanding Perancis, Brazil atau pun Argentina?
“Tidak semestinya kemenangan adalah perkara mandatori kerana kami juga boleh kalah walaupun beraksi baik. Tetapi, adalah perkara positif untuk dilabel sebagai pilihan, namun dalam bola sepak apa juga boleh berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, De La Fuente juga gembira kerana memiliki ramai pemain berkualiti dan memudahkannya untuk membuat pilihan terbaik dalam mana-mana perlawanan.
“Adanya ramai pilihan menjadikan saya lebih tenang. Kami ada tempoh pemulihan yang singkat, perubahan ketinggian di venue perlawanan dan cuaca hangat, jadi realitinya, pemain kena dijaga dengan baik,” katanya. – AGENSI














