KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga dekad menyepi, kumpulan ikonik 4U2C kembali menyapa peminat menerusi konsert berskala besar diberi judul WE 4U2C pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Membawakan tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, konsert anjuran Juss Event itu bakal menghimpunkan tujuh anggota asal iaitu AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.
Menurut anggotanya, Datuk AC Mizal, atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 54, penganjuran konsert itu bukan sekadar projek hiburan semata-mata, tetapi merupakan impian yang telah lama dipendam.
“Konsert ini sudah jadi impian saya dari dulu. Idea datang daripada isteri saya, dan kemudian pihak Juss Event tampil beri peluang.
“Bila peluang itu datang, saya tahu ini masa paling tepat. Saya dan semua ahli janji akan beri persembahan terbaik buat peminat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya, semangat untuk kembali bersatu sebagai kumpulan diperkuatkan selepas melihat kejayaan konsert KRU awal Mei lalu.
“Terima kasih kepada KRU sebab konsert mereka jadi pembuka jalan kepada kami untuk kembali.
“Kami mahu kongsi pentas ini bukan sahaja dengan peminat lama, tapi juga keluarga. Ini saat yang ditunggu,” ujarnya pada sidang media konsert tersebut di sini, hari ini.
Menurut AC, konsert tersebut juga menjadi platform untuk memperkenalkan semula keunikan 4U2C sebagai kumpulan yang bukan sekadar menyanyi, tetapi juga mempersembahkan tarian bertenaga.
“4U2C dulu kumpulan pertama yang tampil menyanyi sambil menari. Konsert kali ini pun, kami akan kekalkan identiti itu.
“Objektif kami adalah untuk jadi ‘trendsetter’ dengan kembalikan sejarah dahulu. Ini peluang untuk kami buat kemunculan semula.
“Kita nak buktikan, Malaysia ada artis berkualiti yang boleh menghibur secara total, bukan sekadar nyanyi dan berdiri,” jelasnya.
Turut diumumkan, konsert WE 4U2C akan dipimpin komposer ternama, Aubrey Suwito selaku pengarah muzik, dibantu oleh barisan 14 pemuzik profesional.
Istimewanya, 4U2C juga bakal mempersembahkan tiga lagu baharu yang akan dilancar khas sempena konsert berkenaan.
Tiket mula dijual pada 30 Jun ini menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia, dengan harga bermula RM155 hingga RM555. – KOSMO! ONLINE