PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads @Itarosl tidak menyangka dapat menyaksikan pintasan antipeluru berpandu yang sebelum ini sering dipaparkan dalam filem perang.
“Tak pernah sangka akan saksi depan mata pintasan antipeluru berpandu. Macam dalam filem perang,” katanya yang menetap di Doha.
Katanya, dia sekeluarga turut merasai gegaran kuat disertai letupan berikutan kedudukan rumahnya yang terletak 30 minit dari pangkalan tersebut.
Letupan kuat yang menggegarkan kediaman mencetuskan panik dalam kalangan penduduk menyebabkan anak-anak kecil menangis ketakutan.
Ceritanya, kejadian itu dilihat secara jelas depan mata di ruang udara umpama medan perang.
“Rasa macam (situasi) Palestin, walaupun mungkin baru satu peratus (berbanding Palestin),” ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu membuka mata mengenai situasi getir yang terpaksa dilalui oleh rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Seorang lagi rakyat Malaysia di Doha yang enggan dikenali memberitahu, serangan mengejut Iran itu mencetuskan kekecohan sehingga operasi lapangan terbang tergendala dan penerbangan dibatalkan.
Suasana panik itu susulan pihak berkuasa mengumumkan penutupan ruang udara hanya beberapa minit sebelum letupan berlaku.
“Masa mula-mula serangan berlaku, keadaan agak kucar-kacir. Selepas pengumuman penutupan ruang udara, kedengaran siren dan letupan bertalu-talu menggegarkan bumi Doha,” katanya.
Difahamkan, beberapa rakyat Malaysia yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad turut terkesan apabila penerbangan pada pukul 7 malam waktu tempatan dibatalkan serta-merta.
Pelajar Malaysia yang berada di Qatar turut diberikan cuti sehari sebagai langkah berjaga-jaga, manakala syarikat pula kembali beroperasi seperti biasa semalam.
Keadaan dikatakan kembali reda pada pukul 10 malam (waktu tempatan) selepas serangan berakhir setelah pengumuman dibuat oleh kerajaan Qatar yang memaklumkan keadaan kembali pulih dan selamat.