fbpx

‘Zaman sekarang ramai tertekan, buntu nak luah ke mana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khai kini muncul dengan single terbaharu berjudul Beri Sedikit Waktu.

SEJAK sekian waktu, penyanyi Khai Bahar seolah-olah menyepi dari riuh dunia seni, bukan kerana hilang semangat, tetapi barangkali sedang menata luka dan mencari damai dalam diam.

Namun kini dalam sunyi yang dipecah perlahan, pemilik nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin itu kembali. 

Tidak dengan irama lantang, bukan juga pesta glamor sebaliknya membawa sebuah naskhah yang mendakap hati pernah patah, merangkul jiwa sedang menahan perih. 

Menghidangkan pemuja bakatnya dengan lagu terbaharu berjudul Beri Sedikit Waktu, karya tersebut bukan sekadar balada tetapi suara hati manusia yang sedang belajar untuk pulih.

Ada ketika, langkah terhenti tanpa kata dan dada hanya mampu menanggung beban yang tidak terzahir. 

Di saat itu, hadir sebuah lagu yang menawarkan pelukan, bukan untuk menguatkan tetapi untuk memberi ruang kepada tangisan.

Beri Sedikit Waktu, hasil ciptaan Adi Pawana dan Rudy Nastia terbitan Sony Music Malaysia menjelma sebagai nadi baharu dalam katalog balada jejaka berusia 31 tahun itu.

Bait-baitnya lembut menikam, menyentuh simpul emosi yang barangkali sudah lama dibiar beku.

“Saya terima lagu ini sebaik sahaja mendengarnya. Tanpa ragu. Tanpa fikir panjang. Lagu ini benar-benar menyentuh hati saya kerana sangat ‘kena’ dengan fasa yang saya lalui. Kehilangan ibu tersayang bukanlah sesuatu yang mudah,” luah Khai sebak.

“Dengan bait lirik seperti ‘Kau bukannya menyerah, hanya bersandar seketika’ lagu ini tidak memaksa pendengar untuk menjadi kuat, sebaliknya membenarkan mereka untuk berduka, untuk letih dan menyusun semula semangat yang retak.

Ketika merakamkan lagu Beri Sedikit Waktu, Khai membayangkan wajah syurga hatinya yang sudah tiada lagi di muka bumi ini.

“Saya percaya semua orang pernah rasa tertekan tapi tidak tahu macam mana hendak luahkannya. Lagu ini memberi ruang untuk menangis, melepaskan dan akhirnya menerima bahawa kita tidak perlu sentiasa kelihatan kuat,” katanya kepada HibGlam.

Tidak sarat efek elektronik mahupun struktur kompleks, lagu ini dihidangkan dalam bentuk paling tulen. Hanya susunan minimalis, vokal bersahaja dan lirik yang seolah-olah ditulis dengan air mata.

Proses rakamannya juga kata Khai, hanya mengambil masa selama dua jam namun meninggalkan parut emosi yang dalam.

“Saya nyanyi lagu ini dengan cara paling jujur. Tiada teknik tinggi. Saya cuma sampaikan rasa. Dan bila rasa itu datang dari hati, saya percaya ia akan sampai ke hati pendengar.

“Saya membayangkan wajah arwah ibu sepanjang rakaman. Beberapa kali saya terpaksa berhenti kerana terlalu sebak. 

“Tapi saya tahu, saya perlu rakam lagu ini. Ramai yang perlukan lagu seperti ini, bukan semata-mata hiburan tapi untuk tenangkan batin,” kongsinya.

Menyempurnakan karya itu dengan video muzik (MV) rasmi yang turut membawa naskhah visual menyayat jiwa dan sarat simbolik selain melakar perjalanan jiwa daripada kegelapan emosi ke cahaya harapan.

Lebih daripada sekadar projek seni, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu berkata, lagu terbabit merupakan penghormatan buat insan penting dalam hidupnya iaitu arwah ibu. 

“MV ini melambangkan seseorang yang jatuh tapi sedar hidup perlu diteruskan. Tiada duka yang kekal, cuma kita perlu beri sedikit waktu untuk diri.

“Saya tahu ramai orang sedang berjuang secara diam. Lagu ini untuk mereka. Jika lagu ini beri sedikit rasa lega, rasa didengari, rasa difahami, itu sudah cukup besar buat saya.

“Tak semua orang mampu terus bangun selepas jatuh. Dan saya mahu lagu ini menjadi pelukan buat semua. Menangislah kalau perlu. Beri sedikit waktu. Percayalah, kamu akan baik semula,” ujar Khai yang turut menyumbangkan idea konsep video muzik berkenaan.

Beri Sedikit Waktu boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala video muzik rasmi di YouTube sonymusicMYVEVO.

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI