IPOH – Seramai 106 orang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Perak memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 atau mencatatkan gred A bagi semua mata pelajaran diambil.
Daripada jumlah itu, 103 calon mendapat semua A bagi empat mata pelajaran yang diambil sementara tiga lagi merekodkan lima A mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai berkata, jumlah itu meningkat berbanding 82 calon bagi tahun 2023.
“PNGK STPM 2024 Perak juga meningkat kepada 2.85 berbanding 2.83 pada tahun 2023. Ia merupakan PNGK tertinggi Perak sejak sistem tiga semester diperkenalkan pada tahun 2012,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2024 negeri Perak di sini hari ini.
Kata Safuan, daripada 3,088 calon, seramai 3,057 atau 99 peratus berjaya mencapai lulus penuh atau mendapat gred A hingga C.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf Batu Gajah, SMK St. Michael Ipoh, SMK Jalan Tasek Ipoh dan SMK King Edward VII Taiping merupakan sekolah paling ramai merekodkan bilangan pelajar PNGK 4.00. – KOSMO! ONLINE