fbpx

IM Pahang peruntuk RM8 juta untuk anak jati Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy bersama para pelajar yang menerima wang bantuan pada majlis pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa Tahun 2025 di Auditorium Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, di sini hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN

BANGI – Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan semula bantuan khas untuk mahasiswa dikenali sebagai Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dengan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Prihatin Pahang sebelum dijenamakan semula pada tahun ini.

Menurut beliau, bantuan berbentuk ‘one-off’ itu diberikan kepada anak-anak Pahang yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk Kolej Komuniti dan Politeknik di seluruh negara.

“Untuk Kluster Siswa, bantuan ini telah masuk tahun keempat dan setiap tahun nilainya bertambah. Pada tahun 2022 kita beri RM200, tahun 2023 naik kepada RM300 dan tahun ini kita kekalkan RM400.

“Secara keseluruhan, lebih RM26.05 juta diperuntukkan sejak tahun 2022 hingga 2024 melibatkan 41,934 orang pelajar Pahang di seluruh negara,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran IM Pahang di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun jumlah RM400 mungkin dilihat kecil bagi sesetengah pihak, namun ia diyakini mampu membantu menampung keperluan asas para mahasiswa.

“Malah yang lebih penting, ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masa depan anak-anak Pahang yang sedang menuntut ilmu,” ujarnya.

Selain pelajar IPT, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada 28 pelajar di bawah program Permata Pintar Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI