NASHVILLE – Boca Juniors masih meletakkan harapan untuk melangkah ke pusingan kalah mati pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 meskipun menghuni tangga ketiga Kumpulan C ketika ini.
Boca masih berpeluang untuk meneruskan kemaraan sekiranya mencatat kemenangan besar ke atas Auckland City di Geodis Park awal pagi esok selain mengharapkan Bayern Munich menewaskan Benfica.
Jurulatih Boca, Miguel Angel Russo berkata, pemain-pemainnya perlu menunjukkan aksi lebih baik ketika berdepan pasukan dari New Zealand itu bagi mengelakkan mereka tersingkir awal daripada kejohanan.
“Bagi saya, masih banyak yang perlu diperbaiki kerana pertandingan ini memerlukan setiap pasukan berada pada tahap tertinggi. Kami perlu lupakan kekalahan kepada Bayern dan fokus pada perlawanan akan datang.
“Memang benar kami memerlukan jaringan yang besar ke atas Auckland. Walaupun ia bukanlah satu perkara mudah tetapi tidak mustahil untuk kami melakukannya kerana keinginan kami cukup tinggi,” katanya.
Sementara itu, beliau juga gembira kerana penyokong-penyokong Boca sentiasa berada di belakang pasukan dan ia mampu menjadi pembakar semangat buat barisan pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Walaupun tewas sebelum ini tetapi penyokong-penyokong masih tidak putus harapan dan memberi kata-kata semangat kepada kami. Bagi saya, ia sangat penting, terutamanya dalam kejohanan seperti ini,” ujar Russo. – AGENSI