KUALA LUMPUR – Seramai 17 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari kawasan Parlimen Lembah Pantai terpilih menerima biasiswa penuh bagi melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan asasi menerusi pelancaran Biasiswa Lembah Pantai 2025.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program hasil kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan platform pendaftaran pelajar dalam talian terbesar di Malaysia, Uni Enrol itu membabitkan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, Uni Enrol bersama IPTS seperti HELP University, IMU University, SEGi University dan First City University College menaja 17 biasiswa penuh kepada pelajar SPM dari sekolah menegah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) sekitar Lembah Pantai.
“Keutamaan diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan dibawah RM8,000 sebulan serta mereka yang mempunyai pencapaian dalam bidang sukan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Biasiswa Parlimen Lembah Pantai, 2025 di Aloft Sentral, di sini hari ini.
Tambah Fahmi yang juga Menteri Komunikasi itu, pelajar lepasan SPM ketika ini mempunyai panduan dan informasi untuk melanjutkan pangajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan bantuan seperti platform Uni Enrol dan Global Education Alliance (GEA) bagi mencari padanan terbaik mereka.
“Saya antara yang bernasib baik dapat sambung pengajian ke Amerika Syarikat tanpa panduan atau informasi seperti yang ada hari ini. Saya pilih universiti ibarat baling dart ke peta. Mujur dapat masuk ke Purdue University, salah satu universiti kejuruteraan terbaik.
“Kalau dahulu sudah ada platform seperti Uni Enrol dan GEA (Global Education Alliance), mungkin saya pilih laluan berbeza. Sekarang pelajar ada lebih banyak ruang untuk cari padanan terbaik bukan sekadar ikut bajet, tapi juga minat dan impian mereka,” katanya.
Dalam majlis sama, Uni Enrol memeterai kerjasama pelaburan strategik bersama GEA bagi memperluas capaian pendidikan tinggi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Usahasama itu dijangka membuka lebih banyak laluan pendidikan transnasional ke destinasi seperti United Kingdom, Australia, New Zealand dan Ireland, selain memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau pendidikan tinggi.
Ia juga bakal menyatukan institusi di bawah GEA ke dalam platform Uni Enrol secara digital, sekali gus mempercepat proses pengambilan pelajar serta meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan serantau.
Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada sasaran kerajaan Malaysia untuk mencapai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025, sekali gus memacu lanskap pendidikan tinggi negara menjadi lebih berdaya saing dan dinamik. -KOSMO! ONLINE.