fbpx

‘Redah bukit dalam gelap ditinggal macam pelarian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar lokasi yang mana mereka terpaksa meredah semak dan mendaki bukit.

SEREMBAN- “Kami redah bukit dalam gelap, pakai selipar, tak tahu ke mana. Ada jemaah pengsan, ada yang sakit. Kami ditinggal macam pelarian dan dibiarkan berjalan sendiri dengan ditemani orang Arab di sana, tanpa mutawwif.”

Itu pengalaman pahit seorang daripada puluhan jemaah haji berusia 63 tahun yang menjadi mangsa sindiket penipuan haji oleh ejen tempatan yang menawarkan visa pelancong dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Syed itu, dia dan isteri Nura, 64, serta adik ipar perempuannya Sharifah, 57, antara 47 jemaah haji yang menempuh pengalaman ngeri apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen ketika ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, Arab Saudi.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, katanya, mereka dibawa dari Madinah ke Mekah pada waktu malam melalui laluan tidak sah, termasuk mendaki bukit, meredah semak dan jalan curam semata-mata untuk mengelak kawalan polis Arab Saudi kerana tidak memiliki visa haji.

Katanya, dia sememangnya kesal dengan apa yang berlaku dan mengakui masih lagi trauma dengan pengalaman ngeri yang dialaminya.

“Pengalaman ngeri yang dialami saya bersama isteri dan adik ipar adalah memang diluar jangkaan kami. Tidak sangka kaki saya ada kekuatan untuk panjat turun bukit. Ingatkan kali pertama pergi haji, memorinya indah, sampaikan saya fikir ini nak pergi tunai ibadah haji ke nak pergi ‘hiking’.

“Saya akui tersilap langkah. Kalau tahu macam ini tidaklah saya terpedaya dengan apa yang dikatakan oleh agensi tersebut. Ditawar pakej RM10,000 pun saya tidak mahu, jika tahu perlu berhadapan semua ini (pengalaman ngeri). Kami semua kini masih trauma,” katanya ketika ditemui di Mantin, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI