PETALING JAYA – Kumpulan Telegram Edisi Siasat 2.0 yang baru ditubuhkan semalam dan berjaya mengumpul lebih 100,000 pengikut sekali lagi disekat hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kumpulan tersebut tidak boleh diakses pengikutnya pada pukul 10 malam tadi.
Tertera ayat ‘Saluran ini tidak dapat dipaparkan kerana ia melanggar undang-undang tempatan (Malaysia).
Sebelum ini, Kumpulan Telegram Edisi Siasat asal yang mempunyai lebih 1.1 juta pengikut disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini.
Mengikut kenyataan MCMC sebelum ini, langkah menyekat kumpulan Telegram Edisi siasat dan Edisi Khas dibuat selepas pihaknya memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran berkenaan.
Katanya, kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Tindakan itu yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [“ASP(C)”]. – KOSMO! ONLINE